Agak membingungkan juga bila aku mengenang akan hubungan dan kaitan aku dengan Kampung Serdeng. Apabila sahaja aku mula menyedari dan belajar memahami kehidupan aku sudah berada di Kampung Serdeng. Bagi aku itulah kampungku, kampung yang indah, aman damai dan ramai dengan kesepiannya. Aku menganggap kampung Serdeng kampungku walaupun mengikut emak aku dilahirkan di Sedo.
Aku teringat akan sungai Serdeng yang airnya jernih menjelang tahun 60-an. Aku teringat hutan tua di belakang kampung. Aku teringat kebun mulung atau rumbia dan sungai Terusan tempat pernah keluargaku tinggal beberapa ketika kerana berhuma. Entah ada tidak lagi tanah huma di situ aku sudah tidak tahu. Lagi pun semua orang yang berkaitan seperti Nek Haji Sabli, Nek Mor, Wa Bainah dah tiada. Tapi aku masih ingat menatap sawah yang pada itu bagai saujana mata memandang tapi rupa-rupanya sekang kera sahaja pada ukuran orang dewasa. Maklum ketika itu huma seekar sudah dikira besar dan boleh menghasilkan beras untuk makan sekurang-kurangnya setengah tahun. Kalau dah ada beras untuk selama itu lauk pauk bukan masalah sangat kerana bawa jala kle sungai dapat sekali dua ikan dan udang. Atau labuhkan pento dan seekor dua ketam kalok besar boleh dibuat lauk. Malah dengan memasang taut sahaja sudah boleh seekor dua ikan semilang yang sedap dipais. Atau pasang tondang di sungai akan ditangkap umpannya oleh ikan buris.
Atau setidak-tidaknya masuk sedikit ke hutan di sebelah darat rumah ada paku dan midin yang disayur dengan belacan dan cili tanam sendiri sudah dengan mudah menolak makanan ke dalam tekak.
Menurut sijil kelahiran, yang sebenarnya didaftar lambat, aku dilahirkan pada 19 Disember 1950. Namaku diambil daripada nama Pegawai Daerah Binatang ketika itu iaitu Abang Saiee. Memang biasalah pada zaman itu hanya orang keturunan Abang yang boleh memegang jawatan pentadbir daerah dan berkerja di pejabat kerajaan.
Mungkin ayahku terlalu seronok dengan aura DO Abang Saiee ketika itu maka apabila aku lahir diberinya Saiee atau eja juga sebagai Saie. Aku sendiri apabila angkat remaja sebenarnya tidak berapa senang dengan nama itu kerana bukannya satu nama yang glamor dan tidak ada orang lain menggunakan nama itu. Aku masa itu tidak menghargai selera ayah memberi nama itu dan hanya kini baru aku merasa yang ayah aku ada visi dan cita-cita untuk aku bertugas di pejabat dan dalam kehidupan lebih daripada dia dan ibuku. Mungkin ayah mahu akau jadi orang dengan pangkat sehebat pegawai daerah, iaitu di antara pangkat paling tinggi dipegang oleh seorang bumkiputera ketika itu. Aduh, hebat juga cita-cita ayahku yang baru kini aku memahaminya dengan mendalam. Ayahku sebenarnya berfikir mendahului zamannya. Dia bagi nama itu tanpa pernah pergi ke sekolah dan sebelum ada sekolah di kampungku.
Masa itu aku tidak menghargai nama itu kerana bunyinya agak ganjil di telingaku. Tapi lebih baiklah nama itu daripada nama panggilan seharian iaitu Baneng atau Aneng. Kalau tidak silap aku ‘baneng’ dalam bahasa Melanau ialah daki-daki tepi dalam periuk setelah nasinya habis. Tidak tahulah aku daripada nama itu. Syukur juga iaitu hanya nama panggilan bukan nama sebenar. Kalau nama sebenar ke mana nak kubawa muka sekarang.
Bukan semua sanak saudaraku setuju dan senang dengan nama Baneng. Adik beradik ibu di Daro seingat aku tidak mahu memanggil aku dengan nama itu kerana implikasi kurang serinya. Maka mereka memanggil aku dengan nama rasmi.
Bila aku masuk sekolah menengah aku belajar berkenalan dengan orang luar kampung dan luar sekolah melalui Majalah Filem dan aku gunakan nama Roslan Darus. Aku rasa sedap benarlah nama itu. Ada dua tiga orang mengenali aku dengan nama itu sehingga tamat persekolahan. Tapi hairan juga aku kenapa aku tidak menggunakan nama itu dalam bidang penulisan.
Kehidupan masa kecil itu aku ingat-ingat lupa. Hanya pernah pada masa kecil aku mendengar pasal sekolah dibuka di kampung dan pasal anak-anak kampung pergi sekolah. Kalau tak silap kumpulan pertama bersekolah sudah bujang terang tang-tang. Mana tidaknya dah boleh angkut enjin sangkut dan pandai bertandak dan bantu orang masa kenduri kendara.
Kehebatan mereka apabila bercakap sesama sendiri menyebut berbagai perkataan baru menjadikan aku merasa amat kecik dan hina sehingga aku hanya diam dan memerhati sambil mengagumi kebolehan mereka menulis.
Aku dimasukkan ke sekolah pada tahun 1959, ertinya ketika itu umurku sudah lapan tahun. Apabila sahaja aku mendengar aku hendak dimasukkan ke sekolah aku kumpulan duit membeli sebuah buku dan meniru entah apa benda yang aku tidak faham. Dalam pada itu aku amat kagum apabila ayahaku dapat mengajar aku a, b, c sehinffa f sahaja. Lebih daripada itu tidak mengenali huruf-huruf yang ditulis di belakang buku latihan berharga 20 sen yang dibelinya untuk ku. Kesian tengok ayah bila aku minta diajar lebih daripada huruf f. Dengan sayu dia mengaku dia tidak tahu lebih daripada itu. Bagaimanapun sebagai ganti dia mengajar sepatah dua bahasa Inggeris iaitu nama teh, kopi, gula. Itru sahajalah. Dari mana dia tahu the itu tea, kopi itu coffee dan gula itu sugar, aku tidak tahu. Tapi aku bangga kerana dia mengajar aku bahasa Inggeris dan membayangkan bila benar-benar bersekolah pasti aku boleh berbahasa Inggeris.
Dalam pada itu aku banyak belajar bahasa melalui kegemaran menumpang mendengar radio yang baru masuk ke kampung ketika itu. Seingat aku orang pertama ialah keluarga sebelah rumah ku iaitu Wa Uloi atau nama sebenar Encik Wahab bin Drahim yang juga ketua kampung. Pada masa itu keluarga itu dilihat sebagai keluarga berada kerana pertama dia ketua kampung dan dia dilantik menjadi ketua kampung kerana dia boleh sedikit sebanyak menulis rumi. Mereka juga ada tanah yang banyak dan kebun mulung atau rumbia di sana sini.
Daun cantik manis atau ulam raja
Namun rasanya katalis sebenarnya ialah Tok Mat mertua Encik Wahab iaitu ayah kepada Wa Feah ibu Kak Harian, Hamden dan Jolen. Mengikut ceritanya Tok Mat yang ketika usia lanjutnya menjadi tukang rumah dan tukang perahu sebelum itu pernah menjadi kelasi kapal ke Sarawak (Kuching) ma;lah sampai ke Singapura. Dialah yang membawa banyak pembaharuan sebenarnya ke kampung itu.
Antara lain dia pandai membina bot dan kapal kecil dan pernah dapat kontrak membuat kapal. Kalau tak silap dia juga yang membina bangunan surau pertama di kampung itu dan menjadi merbot atau tok siak pertama surau itu. Dia boleh dikatakan di antara yang cukup canggih kerana boleh juga mengajar orang mengaji dan macam-macam lagi. Masa itu amalan menghargai kebolehan atau jasa seseorang tidaklah secara terbuka dan kalau seseorang memuji sering disalahganggap sebagai mengampu atau ada niat serong.
KELUARGA
Hampir seluruh penduduk Serdeng ketika tahun 60-an adalah satu keluarga atau ada hubung kait melalui kelahiran atau perkahwinan di antara satu sama lain. Dalam pada itu unsur pengasingan wujud. Misalnya mereka yang keturunan Melanau atau fasih berbahasa Melanau dalam hidup seharian dianggap orang Melanau dan mereka yang bercakap bahasa Melayu kampung mengaku orang Melayu pada hal mereka sepupu sepapat malah adik beradik yang tinggal di kampung berasingan dilihat sebagai ‘orang asing’.
Agaknya ini adalah bahana kecenderungan mencari identiti dan mencari keistimewaan masing-masing. Maka bagi otakku yang masih mentah diriku daripada keluarga yang kerap berbahasa Melanau adalah orang Melanau dan lain kelasnya (lebih rendah) kalau berbanding dengan orang lain di kampung yang kebanyakannya orang Keleng (istilah untuk orang Melayu). Hanya setelah dewasa dan jauh merantau baru aku faham yang sebenarnya orang-orang asing menjadi jiranku di kampung adalah sebenarnya saudara maraku jua.