RUMAH baru yang diberi kepada Jamilah (gambar kecil) di Kampung Serdeng
Setiap malam selesai solat, beliau tidak pernah lekang berdoa supaya Kampung Serdeng, terletak kira-kira sejam setengah dari Bandar Sibu, tidak dipukul ribut. Ketika itu, lantai rumah kayu peninggalan arwah bapanya itu juga tidak lagi kukuh dengan sebahagian atapnya tidak lagi elok dan bocor. “Dulu hati tak tenteram, tetapi sekarang hati dah nyaman. Rumah baru ini selesa,” katanya kepada Berita Harian yang sempat melawat kampung itu, baru-baru ini.
Jamilah adalah antara empat penduduk kampung itu yang menerima rumah baru melalui Program Bantuan Rumah (PBR), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) pada tahun lalu.
Beliau kini memiliki kediaman selesa yang lengkap dengan kemudahan asas di dalam rumahnya yang terletak kurang 20 meter dari tebing Sungai Serdeng.
“Tak perlu keluar rumah lagi kalau mahu mandi atau membasuh,” katanya merujuk kepada bekalan air bersih yang disalurkan ke penempatan itu yang mempunyai kira-kira 500 penduduk.
Rumah PBR Jamilah mempunyai tiga bilik, dua bilik air dan satu ruang tamu, kemudahan yang beliau sifatkan sebagai pulangan kepadanya yang setia kepada kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).
Kini beliau menetap di rumah PBR itu sejak November tahun lalu bersama abangnya, Bukhari, 67, dan juga ibunya, Rabayah, 90.
PBR adalah sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi menyediakan rumah kepada golongan miskin tegar terutama kepada masyarakat di luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak.
Kerajaan sebelum ini mensasarkan membina 16,500 rumah di bawah PBR dalam tempoh tiga tahun bermula 2010 dengan 7,331 rumah telah dibina sehingga Disember tahun lalu.
Ketua Kaum Kg Serdeng, Abdul Razak Chung Abu Bakar, 65, berkata terdapat sekurang-kurangnya lima keluarga miskin di kampung itu memerlukan bantuan PBR dengan sebahagiannya mempunyai pendapatan kurang RM500 sebulan, selain mempunyai ramai tanggungan.
Sumber dan karya asal: Berita Harian 9 April 2011
No comments:
Post a Comment