RABIATUL Adawiyah bersama anak-anaknya di rumah yang disewa RM100 sebulan di Kampung Serdeng, semalam.
SIBU: Faktor kemiskinan menyebabkan lima sekeluarga di Kampung Serdeng, dekat sini terpaksa menetap di sebuah rumah kecil, berukuran 12 kaki lebar dan 20 kaki panjang yang diperbuat daripada asbestos iaitu bahan yang biasa digunakan untuk membuat rumah burung walit.
Rumah itu didiami keluarga pencari rotan, Mohd Ikhwan Jawan, 30 dan isteri, Rabiatul Adawiyah Puasa, 27. Pasangan itu mempunyai tiga anak berusia antara tiga hingga sembilan tahun.
Adawiyah yang berasal dari Sungai Rambai, Melaka berkata keluarganya terpaksa tinggal di rumah sewa dan dikenakan bayaran RM100 sebulan kerana kemampuan suami yang terbatas, sekadar sekitar RM400 sebulan sebagai pencari rotan dan kerja sampingan lain.
“Kami tiada pilihan, hanya (rumah) ini saja kami mampu sebab abang hanya pencari rotan,” katanya kepada Berita Minggu yang mengunjungi rumah ibu muda itu selepas dimaklumkan Ketua Kampung Serdeng, Abdul Razak Chung Abu Bakar, mengenai keadaan keluarga itu yang memerlukan bantuan rumah lebih selesa.
Dalam reaksi segera terhadap nasib keluarga berkenaan, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta pemimpin setempat supaya menyediakan laporan terperinci mengenai keluarga itu dan memanjangkan perkara berkenaan kepada agensi berkaitan.
Katanya, masalah itu juga akan dirujuk kepada pangkalan data e-Kasih di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, manakala bagi permohonan PBR pula harus melalui prosedur tertentu.
Adawiyah antara lima keluarga di Kampung Serdeng, terletak kira-kira 30 kilometer dari Tanjung Manis yang memerlukan rumah lebih baik kerana rumah sedia ada terlalu daif atau menyewa rumah yang tidak kondusif.
Keluarga itu hanya menerima bantuan kewangan tahunan RM250 bagi anak sulung mereka di bawah peruntukan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) sejak setahun lalu dan tidak tersenarai dalam e-Kasih.
Adawiyah sudah tujuh tahun menetap di Sarawak berharap Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mempertimbangkan keluarganya sebuah rumah lebih selesa di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) yang turut dinikmati empat keluarga lain di kampung itu sejak tahun lalu.
“Kalau boleh dapat rumah PBR itu, Alhamdullillah... anak-anak pun semakin membesar,” katanya.
Sumber: Berita Minggu, 10 April 2011
No comments:
Post a Comment