Sebahagian rumah penduduk di Kampung Serdeng bakal berubah wajah apabila jalan raya sempurna siap dibina.
Perjalanan dari Kampung Serdeng ke Sibu hanya sejam
SIBU: Sejak sekian lama, bot ekspres menjadi pilihan penduduk Kampung Serdeng untuk berulang alik ke Sibu kerana penggunaan pengangkutan air itu hanya mengambil masa kira-kira dua jam berbanding jalan darat menerusi Semop-Daro-Mukah yang mencecah tujuh jam. Sekitar 1980-an, penduduk di perkampungan yang terletak bersebelahan Sungai Serdeng ini turut menggunakan tongkang untuk berulang alik ke Sibu, walaupun perjalanan mengambil masa lebih lapan jam. Ketika itu, seawal jam 5.30 pagi, penduduk sudah menunggu di jeti sambil bertemankan lampu picit untuk memberi isyarat kepada bot untuk berhenti di jeti balak yang terletak kurang 20 meter dari penempatan mereka.
Namun episod itu bakal menjadi memori generasi terdahulu di Kampung Serdeng yang mempunyai kira-kira 500 penduduk selepas Jalan Sibu-Tanjung Manis yang turut menghubungkan Sibu dengan Serdeng mula dibina bulan lalu dan dijangka siap Jun depan.
Ketua Kaum Kampung Serdeng, Abdul Razak Chung Abu Bakar, 65, berkata perjalanan ke Sibu menerusi jalan baru itu hanya memakan masa sejam lebih, sekali gus menjimatkan masa dan mengurangkan risiko berbanding menggunakan laluan air yang berbahaya.
"Kami tidak pernah mimpi dapat jalan ini... selepas ini semua urusan jadi lebih mudah," katanya kepada Berita Harian ketika ditemui di kampung berkenaan yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Tanjung Manis.
Jalan raya yang dibina kerajaan itu turut menemukan jurugambar The New Straits Times Press (NSTP), Radzi Bujang yang terpisah dengan nenek saudaranya, Rabayah, 90, sejak 20 tahun lalu akibat masalah perhubungan ke perkampungan tepi sungai itu yang rata-rata penduduknya petani dan nelayan kecil.
Radzi yang pernah menaiki tongkang bersama arwah datuknya, Pendek Razak, sekitar awal 1980-an, berkata dia tidak pernah menyangka bertemu kembali dengan sanak saudara, termasuk neneknya yang masih sihat dan mampu menebas rumput.
"Sekarang semuanya senang... boleh jalan kiri dan kanan. Tengok atas pun dah ada karan (elektrik) dan air," kata Rabayah yang mesra dengan panggilan Nek Bai di kalangan masyarakat setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Kampung (JKKK) Serdeng, Jolen Wahab, 60, berkata jalan raya yang baru dibina turut memudahkan penduduk tempatan memasarkan hasil hutan dan hasil tani terutama batang rumbia, rotan, sayur-sayuran dan buahan-buahan ke pekan terdekat.
"Dulu kalau ada orang sakit, susah nak hantar ke hospital sebab kena naik bot. Sekarang kami boleh terus ke Hospital Sibu," katanya sambil menambah masalah jalan dan pengangkutan ke kampung itu sudah selesai dengan pembinaan jalan baru berkenaan.
Masalah logistik dan perhubungan antara isu pokok yang menekan sebilangan besar penduduk di Sarawak kerana faktor geografi negeri ini yang luas dengan sebilangan besar masyarakatnya khususnya Orang Ulu seperti Kayan, Kenyah, Kelabit dan Penan yang masih menetap di rumah panjang di pedalaman.
Bagi anak tempatan Kampung Serdeng, Suffian Chung, 38, kerajaan juga perlu meluaskan lagi liputan talian telefon supaya masyarakat luar bandar dapat berhubung dengan dunia luar dan tidak ketinggalan daripada arus pembangunan negara.
SUMBER BAHAN DAN KLARYA ASAL
Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my
Berita Harian 2011/04/05
No comments:
Post a Comment